Ada Apa Di Kuala Kubu Bharu?


Jika bercakap tentang destinasi pelancongan yang terkenal di Malaysia, pastinya Kuala Kubu Bharu tidak selalu tersenarai dalam perbincangan. Namun, jika anda mencari destinasi terpencil yang tidak padat dengan pengunjung namun hangat dengan pelbagai aktiviti lasak, pekan kecil di negeri Selangor inilah jawapannya!

Gambar dari Tourism Selangor.
Dahulunya terkenal sebagai pusat pelombongan biji timah, Kuala Kubu Bharu sebuah bandar yang dibina balik selepas tragedi empangan pecah pada tahun 1883 yang menenggelamkan seluruh pekan tersebut. Bandar yang baru ini dibina di atas bukit dan kini menjadi destinasi yang penuh dengan tarikan-tarikan aktiviti lasak. Mari kita tengok ada apa di Kuala Kubu Bharu.
Jarak dari Kuala Lumpur: kira-kira 60km
Jarak dari Tanjung Malim: kira-kira 25km
Destinasi-destinasi Sukan Lasak Di Kuala Kubu Bharu
1. White Water Rafting di Kampung Paya

Gambar dari Tourism Selangor.
Sukan ekstrem ini menjadi kegilaan ramai kerana dapat memberikan kepuasan adrenalin bagi peminat-peminat aktiviti lasak. Di Kuala Kubu Bharu, anda berpeluang untuk mengharungi arus sungai yang deras sambil menghayati keindahan semula jadi sepanjang Sungai Selangor. White Water Rafting di Kampung Paya membawa cabaran mengharungi arus deras gred 2 hingga 4 yang memakan masa kira-kira 3 hingga 4 jam.
2. Mendaki Bukit Kutu

Jangan tertipu dengan nama yang diberi! Bukit Kutu bukan satu destinasi pendakian yang calang-calang untuk pendaki baru. Ketinggiannya yang mencecah kira-kira 1,053 meter meletakkannya setanding dengan gunung-gunung lain di Malaysia. Sekiranya anda berjaya menawan puncak Bukit Kutu (yang memakan masa kira-kira 4 jam), anda akan disambut oleh pemandangan indah empangan yang dikelilingi puncak gunung-gunung lain seperti Gunung Rajah.
3. Rope Swing pertama di Malaysia

Aktiviti rope swing sedikit berbeza jika dibandingkan dengan bungee jumping, namun ia tetap menjanjikan pengalaman yang memuaskan! Di Kuala Kubu Bharu, anda berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman terjun dari sebuah jambatan setinggi kira-kira 60 meter yang dikelilingi hutan hijau, sebelum badan anda dihayun perlahan seperti berada di dalam buaian halimunan. Aktiviti rope swing di Kuala Kubu Bharu dikendalikan sepenuhnya oleh pakar aktiviti lasak, Rentas Adventures.
4. Paragliding di Bukit Batu Pahat

Gambar dari Selangor Tourism.
Satu lagi aktiviti lasak yang menjadi tumpuan ramai dan turut boleh didapati di Kuala Kubu Bharu adalah paragliding. Pengalaman ‘terbang’ di awangan setinggi kira-kira 1400 kaki atas paras laut, berlatar-belakangkan panorama unik bandar Kuala Kubu Bharu yang dikelilingi pemandangan indah semestinya adalah satu pengalaman yang perlu anda cuba! Aktiviti paragliding di KKB ini mengambil masa kira-kira 10 minit, bermula dari Bukit Batu Pahat dan berakhir di Taman Millenium.
Aktiviti-aktiviti Lain Di Kuala Kubu Bharu
Cukup dengan aktiviti lasak, mari kita lihat pula destinasi-destinasi lain di Kuala Kubu Bharu. Pastinya anda juga ingin merasai suasana aman damai dan nyaman yang juga sinonim dengan bandar ini.
Masjid Huffaz, Darul Quran Jakim

Destinasi ini tidak dianggap sebagai satu destinasi pelancongan. Sebaliknya, ia adalah satu institusi pengajian yang menjadi ikon untuk bandar kecil ini. Darul Quran Jakim adalah antara institusi yang paling giat melahirkan huffaz di Malaysia, menawarkan perasaan tenang kepada setiap orang yang menjejakkan kaki ke dalamnya dengan kawasan luas menghijau. Institusi ini juga terkenal dengan masjidnya yang tersergam indah dikelilingi tasik dan bukit-bukau menghijau, memberikan suasana dan pemandangan seakan-akan Mirror Lakes di New Zealand.
Air Terjun Sungai Chiling

Jika anda berada di Kuala Kubu Bharu, pastikan air terjun ini menjadi destinasi wajib ! Air terjun Sungai Chiling merupakan salah satu lokasi yang memberikan pengalaman mandi-manda yang terbaik di Selangor. Untuk ke lokasi ini, anda akan melalui trek hutan yang tidaklah begitu mencabar, ditemani bunyi deruan air yang pastinya membuatkan anda tidak sabar untuk sampai ke air terjun utama yang berketinggian kira-kira 80 meter. Lokasi ini juga menempatkan sebuah santuari ikan yang menjadi destinasi penting untuk pembiakan ikan kelah.
Penginapan Menarik Dalam Hutan
Terdapat beberapa pilihan penginapan jika mahu bermalam di daerah ini. Antara yang menarik termasuk Sarang By The Brook dan The Sticks.
Sarang By The Brook

Sarang by the Brook menawarkan suasana penginapan yang unik untuk pencinta alam sekitar dengan ‘sarang’ penginapan yang dibina dengan kontena. Di sini, anda akan disajikan dengan panorama indah hutan hijau tropikal di dalam kawasan penginapan yang terpencil; menjanjikan pengalaman bersifat peribadi yang terasing dari orang ramai. Selain tawaran bilik-bilik yang cukup lengkap dengan pelbagai kemudahan, Sarang by the Brook juga menawarkan pelbagai fasiliti lain seperti kolam renang, fasiliti BBQ, ruang awam yang luas serta siaran langsung Astro untuk peminat sukan.
The Sticks

Pengalaman unik berehat dikelilingi suasana tenang hutan hijau di bandar kecil ini turut menjadi tema penginapan di The Sticks. Resort ini menawarkan anda peluang untuk berehat tanpa gangguan di sebalik keindahan alam semulajadi. The Sticks menawarkan tempat penginapan bertemakan kayu yang selesa dan cantik, menambah lagi perasaan menjadi satu dengan alam untuk penginap-penginap di fasiliti mereka.
Oleh itu, bagi yang di Kuala Kubu Bharu dan mahukan sedikit keseronokan yang luar biasa, kini anda tahu ke mana hendak dituju. Selamat bercuti dan jaga keselamatan diri ketika melakukan aktiviti lasak!
A football enthusiast and a casual gamer, Izzat Nizar has a soft spot for linguistics. Very much interested in different dialects and slangs around the world , he refrains from being a ‘Grammar Nazi’ while observing the way people use language in their daily lives. He has added to his experience in writing with his recent involvement in writing articles for Tourism Malaysia and Convergence by Malaysia Airports.