Switzerland: Destinasi Salji Pada Harga Mampu



Pertama sekali, ingin kami ingatkan agar anda jangan pula meletakkan percutian sebegini pada harga yang terlalu rendah sangat. Sudah tentu kita mahu bercuti ke Switzerland, negara termahal untuk didiami di dunia. Namun, jika kena caranya, anda boleh bermain salji di negara termahal di dunia ini dengan kos serendah… RM3,700 seorang!
Teruja? Teruskan membaca.
Waktu Terbaik Untuk Pergi
Elakkan perjalanan pada bulan-bulan Jun hingga Ogos kerana waktu musim panas di Hemisfera Utara ini merupakan waktu puncak untuk kebanyakan pelancong dari seluruh dunia yang bercuti ke Eropah. Pada bulan-bulan ini semua hotel, pengangkutan dan taman tema diletakkan pada harga paling mahal. Lagipun, anda tidak mungkin bertemu salji di pada musim panas, melainkan jika anda mendaki ke gunung-gunung tinggi tidak berpenghuni.
Waktu terbaik adalah pada bulan Januari atau Februari kerana ia “low season” namun masih ada salji di beberapa kawasan pergunungan Swiss.

Tiket Penerbangan
Biasanya, jika anda membeli tiket seawal 9 bulan hingga ke setahun lebih awal pun, anda tidak perlu tunggu promosi jualan murah daripada syarikat-syarikat penerbangan kerana harganya akan jadi lebih kurang sama. Jadi jika mahu pergi bulan Januari atau Februari, boleh mula menjenguk-jenguk tiket seawal bulan Januari hingga April tahun 2021 (dengan harapan kita sudah boleh melancong ke destinasi antarabangsa pada tahun 2022). Pastikan cukup kredit dalam akaun kad kredit, jadi boleh cepat-cepat tempah tiket bila nampak tiket penerbangan murah.
Tiket murah ke mana-mana negara Eropah biasanya antara RM2300 hingga RM2900. Untuk lihat tiket paling murah dan bandingkan beberapa syarikat penerbangan berbeza sekaligus, guna sahaja Skyscanner. Biasanya yang atas sekali memang merupakan harga tiket yang paling murah. Bagaimana pun, and mungkin mahu semak jika masa penerbangan sesuai dengan rancangan perjalanan percutian anda dan jika ia perlukan anda transit dan bertukar kapal terbang di mana-mana.
Anda rasa terlalu awal untuk membeli tiket setahun sebelum perjalanan? JANGAN LUPA! Anda masih perlu menabung untuk bayar sewa hotel serta makan minum dan perbelanjaan lain di negara termahal di dunia ini. Jangka waktu setahun hingga sembilan bulan itu elok-elok sahaja. Bagaimana pun, anda masih boleh menunggu jualan murah kalau-kalau ada tiket murah namun jangan tunggu lama sangat. Paling lama pun mungkin dalam empat bulan sebelum perjalanan.

Destinasi Anda
Terdapat beberapa titik destinasi yang boleh dipertimbangkan untuk bercuti ke Switzerland. Satu cara adalah dengan menaiki kapal terbang terus ke Switzerland iaitu ke kota Zurich atau Geneva dan kemudian menaiki tren atau kereta sewa ke resort ski. Cara ini paling bagus jika anda bercadang untuk bercuti di Switzerland sahaja dan tidak akan ke mana-mana negara lain di Eropah.
Anda boleh juga terbang ke mana-mana destinasi Eropah berdasarkan tiket murah yang dapat anda tempah, kemudian naik tren atau kapal terbang ke mana-mana kota di Switzerland, sebelum menaiki tren atau kereta sewa ke resort ski. Pilihan ini sesuai jika anda mahu berjalan-jalan ke negara lain di Eropah selain Switzerland. Kadang-kala, cara ini mungkin juga lebih murah berbanding membeli tiket penerbangan terus ke Switzerland.
Pengalaman penulis ke sana, kami menaiki tren ke Basel, menaiki kereta sewa dari Basel ke resort ski di Titlis-Engelberg, dan bertolak dari Basel ke London menaiki penerbangan Ryan Air, yang betul-betul murah!
Malahan, kami memilih untuk ke Basel semata-mata kerana terdapat penerbangan Ryan Air dari Basel ke London. Kami memilih untuk bermain salji di Titlis-Engleberg pula kerana ia punyai kawasan yang mesra kanak-kanak, yang juga sesuai buat beginner seperti kami. Buat pengetahuan, bukan semua resort salji punyai kawasan lapang untuk kanak-kanak dan beginners bermain salji untuk suka-suka. Kebanyakan resort adalah khas untuk mereka yang mahu ski atau belajar ski, jadi perlu bayar harga tiket ski pass untuk memasuki kawasan bersalji. Daripada berbulan-bulan kajian yang kami lakukan, ternyata Titlis-Engleberg merupakan yang paling sesuai untuk keluarga kami yang semuanya beginner, dengan tiga orang kanak-kanak di bawah umur 10 tahun.

Berikut “breakdown” kira-kira perbelanjaan kami dari Paris Disneyland ke Titlis dan kembali ke London untuk penerbangan balik ke Malaysia:
A) Paris Disneyland – Basel
1. Naik Tren TGV/Eurostar ke Stesen Basel SBB: EUR40 seorang (RM190)
- Beli tiket online 2 bulan sebelum tarikh perjalanan
- Semak dan beli tiket online di captaintrain.com
- Dari beberapa laman web dan app yang kami semak, captaintrain.com paling mudah digunakan, terutama untuk mencari jalan paling mudah dari satu bandar ke bandar yang lain antara dua negara, sambil memaparkan harga-harga tiket paling murah.
Tiket train TGV: RM190 seorang
2. Naik tren “komuter” dari Stesen Basel SBB ke Stesen Pratteln: Swiss Franc CHF4 seorang (RM18)
- Kami memilih untuk bermalam di Basel kerana harga hotel lebih murah berbanding di resort ski
- Namun, objektif kami hanya untuk bermain salji untuk suka-suka jadi setengah hari di resort ski sudah memadai. Jika anda mahu belajar ski atau snowboard dan mengambil masa beberapa hari, lebih baik duduk di hotel di resort tersebut terus.
Harga satu bilik utk 3 orang di Hotel Ibis Budget Basel Pratteln, Basel: USD143 satu malam (RM633), namun mungkin lebih murah lagi selepas zaman COVID-19 ni. Langgani newsletter AccorHotels.com untuk dapatkan promosi-promosi murah ke e-mail anda.
Dari stesen ke hotel mengambil masa lebih kurang 10-15 minit dengan berjalan kaki. Pada bulan Februari, ia cepat gelap di Eropah jadi lebih baik cepat-cepat ke hotel sebelum matahari tenggelam. Di belakang hotel kami ada supermarket, jadi buat malam itu kami cuma beli roti dan sup segera serta minuman sahaja untuk makan malam. Hotel kami juga berdekatan dengan sebuah IKEA namun tentunya makanan di situ tidak Halal jadi kami telan air liur sahaja setiap kali melihat iklan bebola daging sebesar-besarnya itu.
Tiket tren dalam bandar: RM18
Hotel: RM422 seorang (total dua malam)
Makanan: RM20 seorang (malam pertama)
Tip: Jangan lupa beli makanan untuk sarapan serta kudapan untuk keesokan harinya sekali. Sarapan yang disediakan di hotel mungkin tidak Halal. Namun, kopi dan teh ada disediakan.
Uuuhhh nak meatbaaallll!
3. Kereta sewa
Kami menempah kereta sewa seminggu sebelum perjalanan namun lebih baik tempah beberapa bulan lebih awal untuk dapatkan harga paling murah. Buat aktiviti bercuti ke Switzerland ini, kami menyewa sebuah kereta untuk 4-5 penumpang untuk 24 jam pada harga RM585. Mereka beri kami sebuah Volkswagen Polo. Pada hari kedua, di awal pagi, para kaum lelaki telah berjalan ke pejabat Europcar, perjalanan selama 15 minit dan membawa kereta ke hotel. Dalam tempahan, kami telah tetapkan untuk pulangkan kereta ke Airport Basel di mana kami akan mengambil penerbangan pulang ke London. Senang, tak perlu cari dan bayar teksi pula untuk ke airport. Jadi, kalau nak senang sebegini, pastikan kereta sewa boleh dipulangkan di airport (atau di stesen keretapi jika menaiki tren).
Kereta sewa: RM585 untuk 24 jam (dalam RM146 seorang jika dibahagi 4)
Minyak: RM170 (perlu isi minyak hingga hampir penuh sebelum pulangkan)
B) Basel ke Titlis-Engleberg
Kelebihan menyewa kereta: tidak perlu pening-pening ke stesen keretapi dan mecari tren ke bandar berdekatan resort ski, kemudian perlu naik satu lagi tren ke resort tersebut. Dengan memandu kereta, anda boleh terus parkir kereta di luar stesen kereta kabel yang akan membawa kita ke tanah tinggi di mana terdapatnya salji yang dicari-cari! Perjalanan dari hotel lebih kurang satu jam setengah.
Sampai di Titlis-Engelberg (jangan risau, kereta anda pasti dipasang alat GPS), beli tiket ke stesen yang paling bawah, iaitu stesen Engelberg-Trubsee (sudah memadai bagi kami kerana kami tidak bercadang untuk ski atau snowboard). Boleh bayar menggunakan wang tunai atau kad kredit. Lega rasanya bila boleh bayar menggunakan kad kredit kerana kami tidak tahu harga tiket sebelum sampai sana.

Harga tiket kereta kabel: RM142/dewasa, RM71/kanak-kanak umur 6-15 tahun
Kadang-kala kanak-kanak 15 tahun mungkin boleh naik secara percuma. Anda boleh tanya penjaga kaunter ketika membeli tiket.
Dah sampai di stesen Engelberg-Trubsee tu, anda boleh pinjam tiub tayar, alat permainan minibob dan balancer secara PERCUMA! Cuma perlu beratur dan bawa balik naik ke atas selepas turun bukit salji. Jangan risau, travelator ada disediakan untuk naik semula ke atas.

Part ni PALING BEST sebab akhirnya dapat pun rasa bermain salji di Switzerland! Sejuk yang amat, tapi seronok sangat! Lebih-lebih lagi bila tengok anak-anak gembira tidak terkata. Jika diizinkan Tuhan, lain kali kami ke sini, ingin kami cuba pengalaman duduk di resort dan main ski atau snowboard pula.

Kami tidak lama di Titlis – kami sampai di sana dalam pukul 12 tengah hari, dan bersedia untuk balik ke Basel dalam lebih kurang 2-3 jam kemudian. Kerana tidak tahan dengan kesejukan, sudah memadai bagi kami untuk pengalaman pertama bermain salji.
Pada malam itu pula, kami bawa kereta berjalan-jalan keliling bandar Basel (sebenarnya, kami sesat cari kedai makanan Halal). Kami makan di kedai Aladin, sebuah restoran Turki. Harga makanannya agak mahal, tapi nama pun Switzerland ‘kan? Bagaimana pun, makanannya sedap, dengan bahagian portion yang elok-elok bagi mengenyangkan kami. Jika anda mahu mencari cari kedai Aladin ini, ia terletak di sebelah sebuah kedai kasut Bata.
Tip: Jangan order air kosong, kerana mereka akan bagi air mineral mahal. Lebih baik order jus buah atau air tin.
Makan malam: Dalam RM50 seorang
Tip lagi: Sila jangan melebihi had kelajuan memandu kereta di sini walaupun rasa seperti ia terlalu rendah dan tidak masuk akal. Ya, anda akan lihat had laju serendah 30kmj tapi jangan dibuat tidak endah. Anda akan dirakam kamera AES dan terima bilnya di rumah anda tidak sampai sebulan selepas bercuti. Ini akan menyebabkan kos percutian Swiss anda meningkat.
C) Basel ke London
Jadi, kami asyik cakap RyanAir murah ‘kan? Semurah mana? Penerbangan kami dari Basel kembali ke London berharga CHF16 sahaja. Terkejut tak? Kalah Tony Fernandez hehehehe. Campur tolak kadar bagasi, jumlahnya dalam CHF28 seorang (bagasi kami semuanya dalam 45kg untuk 9 orang, jadi mahal sedikit). Jika tiada bagasi untuk check-in, harga tiket akan menjadi lebih murah namun syarat membawa beg kabin agak ketat di RyanAir. Beg yang anda bawa naik mesti muat dalam kotak pengukur mereka. Oleh itu, bag seperti backpack untuk hiking dan sebagainya pasti gagal ujian kotak ini. Disarankan anda tempah kadar bagasi secara online kerana ianya lebih murah berbanding di kaunter.
Tiket penerbangan: RM70 seorang lebih kurang tanpa bagasi
GRAND TOTAL: RM3700 seorang untuk bermain salji di Switzerland (termasuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Eropah)
Kos ini untuk seorang selama dua hari di Switzerland: Dalam RM1,100 seorang lebih kurang (tolak harga tiket kapal terbang dari Malaysia ke Eropah). Biasanya kita pasti akan lebih lama lagi jika bercuti ke Eropah, kerana masa perjalanan sahaja sudah lebih sehari pergi dan balik. Rugi jika terlalu sekejap di sana. Oleh itu, anda boleh tambah belanjawan dalam RM300 ke RM400 untuk setiap malam tambahan di sana, menjadikan keseluruhan perjalanan berjumlah RM5,200 seorang untuk seminggu. Dalam kira-kira anda, pasti ada yang boleh dikurangkan dan ada yang akan terlebih, jadi anda perlu bijak berbelanja di sana. Selamat merancang perjalanan!
From an avid magazine reader in her teens to a writer and editor today, Zurien honed her skills at various publications including CLEO, K-Zone, Prestige, The Malaysian Women’s Weekly, LISA Malaysia, MSN.com.my, GLAM Junior, Going Places, kayak.com, HerInspirasi.com, Harper’s Bazaar Malaysia, Tropicana Magazine and Convergence by Malaysia Airports. Zurien hopes to inspire readers to enjoy the best of travel and lifestyle experiences at Gadabout.